ALOR SETAR, 09 OGOS 2019 – Lebih 12 buah negara luar telah hadir membentangkan kertas kerja berkaitan zakat di dalam seminar antarabangsa Kedah International Zakat Conference (KEIZAC) 2019 yang berlangsung pada 5 Ogos 2019 baru-baru ini.

Seminar yang diadakan di Menara Zakat Alor Setar itu telah menyaksikan hampir 100 kertas kerja dibentangkan di hadapan kira-kira 300 orang tetamu yang turut menyertai konferens tersebut.

Dalam pada itu, Namungo Hamzah Kasujja, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Latihan, House of Zakat and Waqf Uganda, melahirkan rasa kagum atas penganjuran ini yang julung kalinya diadakan di bangunan milik institusi zakat dan diuruskan sepenuhnya oleh kakitangan zakat.

Selain itu, beliau yang juga dibawa melihat sistem kutipan dan agihan yang telah dilaksanakan di Lembaga Zakat Negeri Kedah teruja dan berhasrat untuk mengambil sistem urus tadbir zakat Kedah sebagai penanda aras untuk diaplikasikan di institusi zakat mereka di Uganda.

Namungo berkata Lembaga Zakat Negeri Kedah telah membuktikan bahawa sebagai sebuah negeri yang kecil di Malaysia juga mampu untuk berdiri sama teguh dari sudut urus tadbir antara institusi-institusi zakat seluruh dunia.

Beliau juga menyatakan sokongan penuh kepada Zakat Kedah dan berhasrat untuk mengadakan lawatan semula ke sini dalam masa terdekat bagi menjalinkan kerjasama lanjut terutama dalam perkara berkaitan sistem kutipan dan agihan zakat yang lebih efektif dan berkesan.

Dalam pada itu, Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK juga melahirkan rasa syukur kerana penganjuran konferens antarabangsa ini telah berjalan dengan lancar. Katanya penganjuran ini akan dianjurkan secara biennale ataupun 2 tahun sekali di negeri Kedah bagi mencapai hasrat untuk menjadikan Kedah sebagai rujukan urus tadbir zakat yang diiktiraf semua pihak.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”