ALOR SETAR, 27 OGOS 2018 – Seramai 600 saudara baharu diberi penerangan mengenai skim-skim yang disediakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi membela nasib mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, skim-skim berkenaan telah lama diwujudkan namun tidak mendapat liputan meluas dalam kalangan saudara baharu.

Katanya, skim yang diwujudkan itu dikendalikan sepenuhnya oleh LZNK dibawah peruntukan asnaf mualaf.

“Skim ini sangat penting untuk menjaga kebajikan mereka selain mendapatkan pembelaan kepada mereka setelah memeluk Islam.

“Antaranya adalah skim perumahan untuk saudara baharu yang memerlukan, Pendidikan untuk anak-anak mereka yang bersekolah atau melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan skim bantuan bulanan untuk keluarga baru yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Majlis Ijtimak Saudara Baharu peringkat negeri Kedah 2018, di Dewan Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti semalam.

Katanya, selain penerangan mengenai skim, mualaf yang hadir juga diberi ruang berdialog tentang keperluan semasa yang mereka hajati

“Kita menerima beberapa cadangan dan insya-ALLAH kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim telah merasmikan Ijtimak Saudara Baharu 2018. Selain itu beliau juga turut menyampaikan Anugerah Tokoh Saudara Baharu 2018 kepada 8 orang penerima meliputi 4 kategori Anugerah Pendakwah Harapan, Anugerah Guru Mithali, Anugerah Khidmat Mithali dan Anugerah Pendakwah Mithali.

Sementara itu, Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah berkata, beliau amat bersyukur kerana Ijtimak ini adalah julung kali diadakan secara besar-besaran.

“Alhamdulillah kita dapat kumpulkan semua mualaf dari seluruh negeri Kedah termasuk menjemput mereka yang telah 20-30 tahun memeluk Islam dan juga yang baharu.

“Sebelum ini pun ada juga kita bertemu dalam program hari raya dan sebagainya, tetapi ia tidaklah seramai seperti majlis hari ini” katanya.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf