KULIM, 26 MAC 2019 – “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya” begitulah ungkapan yang dapat digambarkan mengenai kisah seorang ibu bersama sepuluh orang anaknya yang terpaksa mencari tempat berteduh di Masjid Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kedah.

Prihatin dengan nasib mereka, pihak Masjid Permatang Tok Dik turut membantu bagi menyediakan tempat berteduh sementara buat keluarga ini.

Selain itu, pihak masjid juga turut menyediakan makanan serta minuman kepada keluarga ini menggunakan wang masjid.

Keadaan keluarga ini telah dimaklumkan oleh Penolong Amil Kariah Permatang Tok Dik kepada pihak Pejabat Zakat Daerah Kulim dan telah membuat semakan.

Hasil daripada semakan, beliau merupakan salah seorang penerima bantuan secara bulanan daripada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah sejak tahun 2012 yang lalu berbentuk barangan makanan sebelum ditukarkan kepada kewangan pada tahun 2018 sebanyak RM 700.00.

Terdahulu, Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak berkesempatan menziarahi keluarga ini untuk mendengar luahan hati serta permasalahan yang dihadapi mereka sekeluarga.

Menurut Ibu kepada sepuluh orang anak ini, beliau menyatakan keinginannya untuk mencari sebuah rumah untuk disewa memandangkan mereka telah berada disitu dalam tempoh yang agak lama.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Khairi berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga ini untuk mencari sebuah rumah sewa kepada mereka. Satu kit bantuan makanan asas turut disalurkan kepada mereka sebagai tanda simpati keatas ujian yang dihadapi oleh keluarga ini. Tambahan pula, hampir kesemua anak-anak ini masih bersekolah.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”