SIK, 9 APRIL 2019 – Imam merangkap penolong amil qariah masjid Sungai Senam, Ustaz Harun menyeru agar semua penerima bantuan bulanan menjadi agen promosi bagi zakat Kedah.

Menurut beliau, sekiranya, ada individu atau mana-mana organisasi luar yang ingin membayar zakat terus kepada mereka, penerima zakat harus mempromosikan agar membuat bayaran zakat terus kepada Lembaga Zakat negeri Kedah.

Kesan berzakat kepada Lembaga Zakat Kedah ialah penerima sendiri akan menerima bantuan bulanan yang lebih banyak.

Buat masa ini, dengan kemampuan kutipan zakat dan bilangan penerima bantuan bulanan yang dianggarkan lebih kurang 17 ribu penerima, maka jumlah bantuan yang diterima ialah RM200 hingga RM500 sebulan.

Namun, sekiranya pungutan zakat bertambah, pasti jumlahnya akan dinaikkan. Rata-rata penerima zakat yang ditemui mengakui, bahawa ada segelintir individu luar yang membayar zakat terus kepada mereka. Sedangkan mereka adalah penerima zakat bulanan dari LZNK.

Terdahulu, seramai 165 penerima bantuan bulanan dari qariah Kampung Betong, Sungai Senam dan Danglau berjaya dihimpunkan dalam majlis bancian semula penerima bantuan bulanan zakat.

Bancian ini merupakan proses rutin tahunan, dimana penilaian secara khusus dan teliti akan dibuat supaya penerima dalam asnaf fakir miskin sahaja akan dibantu.


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”